Saya cukup tertarik untuk dengan kenyataan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifudin Abdullah:
“Masa telah tiba bagi kita mengkaji semula kedudukan sekarang dan berfikir secara serius bagi membenarkan pelajar universiti menjadi ahli parti politik,” katanya.
Sumber: Malaysiakini
Berdasarkan kenyataan Datuk Saifudin tersebut, terdapat satu isyarat jelas dari beliau untuk memberikan lampu hijau kepada mahasiswa bagi menceburkan diri dalam pentas politik. Namun persoalannya kini bukannya pada kewajarannya atau tidak. Bukan juga pada minatnya atau tidak. Namun apa yang lebih penting, adakah mahasiswa itu sendiri tahu apakah itu pendidikan politik? Adakah mereka tahu yang politik merupakan suatu seni yang perlu ada pada setiap individu? Dan paling penting, adakah mereka tahu apa itu politik?
Pernah saya mengambil peluang untuk bertanyakan rakan-rakan seangkatan (sekampus dan di luar kampus) berkenaan pendidikan politik. Rata-rata daripada mereka tidak tahu dan mungkin enggan mengambil tahu berkenaan isu-isu nasional dan antarabangsa. Malah ada di antara mereka tidak kenal pun siapakah orang-orang yang mengisi kabinet Malaysia. Itu belum lagi ditanya berkenaan pimpinan-pimpinan dalam PAS, UMNO, MCA, PKR, DAP dan sebagainya. Jika pengetahuan berkenaan penggiat-penggiat parti politik pun tidak mahu diambil tahu, adakah mereka akan mengambil tahu berkenaan projek-projek yang dijalankan oleh orang-orang politik? Tanyalah kepada mahasiswa-mahasiswa hari ini, adakah mereka tahu berkenaan Model Ekonomi Baru, Rancangan Malaysia ke-10, isu royalti Kelantan, PKFZ dan sebagainya. Saya bukan menyalahkan mahasiswa dalam soal ini. Saya yakin ada antara mereka yang masih belum mengerti apa itu politik. Tak kurang juga yang melihat politik sebagai suatu yang jijik. Seharusnya, suatu kefahaman yang betul wajar diberikan kepada mereka.
Mahasiswa bukan lagi mereka yang boleh diperbudak-budakkan. Mahasiswa bukan lagi ayam daging yang hanya menanti makan dan menanti waktu untuk dimakan sama ada secara paprik, masak merah, masak halia atau masak kunyit. Mahasiswa ialah mereka yang sedang mengalami proses peralihan dari zaman remaja ke zaman dewasa. Berilah mahasiswa peluang untuk belajar berkenaan pendidikan politik. Tiada kesalahan untuk mereka memilih hala tuju mereka. Dan kepada mahasiswa pula, ambillah dan rebutlah peluang ini untuk memilih. Dan jangan lupa, kepada yang telah mencapai umur 21 tahun, daftarlah sebagai pemilih. Anda penentu masa depan negara. Andalah juga pewaris kepemimpinan negara. Jadilah mahasiswa yang cakna dengan massa.
salam..satu pos yg baik.satu persoalan?
ReplyDeletememang baik kalau mahasiswa terlibat dalam politik tetapi adakah penglibatan itu menjamin pertarbiah yg konsisten dalam diri seorang pelajar?
mana yg baik..kita dahulukan tarbiah or politik?
pada pendapat saya,adalah baik kalau kita menyibuk diri sistem tarbiyah.setelah diyakini dengan sistem itu,datanglah bencana apa pun,kita tak akan cepat melatah dengan suatu berita yg baru.ini lah yg harus dimainkan oleh src...kalau susah,itulah cabaran dipermulaan.
p/s: sy hanyalah insan yg biasa...mohon maaf jika persoalah yg terlalu mengundang masalah.